Salam.
Terkejut ada bahagian 3?
Pada aku, benda ni boleh dijangka.
Logiklah kalau ada bahagian 2, sudah tentu ada bahagian 3, kan?
Bagi yang baru baca blog ni, ini ringkasannya;
25 Hari (bahagian 1) aku bercerita tentang demam selama 25 hari yang aku alami.
Bahagian 2 pula aku memetik bagaimana demam 25 hari itu mengubah perspektif aku terhadap hobi melukis aku, yang pada aku sekarang, bukan lagi satu hobi yang menyeronokkan.
Dalam bahagian ketiga ini,
aku akan sentuh isu yang lebih berat, tapi tiada siapa yang dapat lari daripada memikirkannya.
Bila kau demam terlantar atas katil,
mata merenung dinding, memandang siling dek kerana badan tidak boleh bergerak.
Datang pula sensasi lain, kau dapat rasa organ dalaman kau bergerak-gerak,
mesti kau akan terfikir tentang sesuatu ini, kan?
Mesti kau akan fikir tentang KEMATIAN.
Tuan-tuan, puan-puan yang dihormati,
Satu persamaan mutlak antara semua manusia di atas muka bumi ini,
juga persamaan mutlak antara semua makhluk bernyawa yang pernah wujud dari awal kewujudan alam sehinggalah sekarang,
adalah kita semua akan merasai MATI.
Pada saat aku demam teruk dan terlantar tak dapat bergerak,
terdetik dalam hati aku,
"Adakah ini penamatnya?"
"Adakah usia aku (sekian-sekian) tahun akan tamat di atas katil ini?"
"Apa akan berlaku selepas aku mati?"
"Siapakah yang akan bersedih dengan kematian aku?"
"Adakah mereka yang akan berseronok bila aku pergi?"
"Adakah perginya aku akan menyusahkan orang lain? Atau memudahkan hidup orang lain?"
Let say I died.
Yang paling terkesan tentulah famili.
Mereka bersedih, berduka dalam satu masa tertentu.
Tapi selepas berlalu masa itu, mereka pun akan teruskan hidup, kan?
Sampai bila mahu bersedih, kan?
Akhirnya, hanya dikenang ketika waktu tertentu sahaja, seperti tarikh hari lahir dan pada hari raya.
Sampai satu masa, walaupun kepada keluarga sendiri, kita akan hanya menjadi sejarah.
Belum cakap kawan/kenalan lagi.
Beberapa hari pertama ketiadaan kita, mungkin mereka akan terkesan.
Yang baik akan sedekahkan al-fatihah,
yang tak berapa baik hanya taip 'al-fatihah' di status facebook.
Mungkin ada yang jadi ralat persoalkan diri kenapa waktu hidup dahulu tak spend time lebih, tapi majoriti akan teruskan hidup seperti biasa selepasnya, kan?
Tempat kerja?
Mungkin kerana tamat begitu sahaja,
jadi akan menyusahkan pengurusan untuk periksa balik progress kerja kita.
Mana yang perlu diteruskan, akan diserahkan kepada pekerja lain.
Mana yang senyap, akan terus disenyapkan, kecuali berbangkit kemudian hari.
Jawatan yang kosong, akan diisi calon lain.
Dan hidup semua orang pun akan terus menjadi normal seperti biasa.
This will not only happen to me.
Ini akan berlaku kepada semua orang.
Orang besar, orang kecil, orang ternama, orang tiada nama.
Yang beza hanyalah masa orang keliling nak 'move on'.
Kita umpama bintang di angkasa raya.
Hilang satu dek supernova, esok hanya tinggal sebagai debu angkasa.
Jadi, for once, kenapa memilih untuk melakukan perkara sia-sia semasa hidup?
Apa kata kita lakukan sesuatu yang memberi impak kepada orang lain, walaupun sesudah kita tiada.
Kita berbuat baik kepada semua orang, termasuk mereka yang tidak kita kenal,
supaya apabila kita tiada nanti, kita tetap berada di dalam doa mereka.
Aku tidak kata aku sudah baik,
tapi aku ingin jadi baik.
Aku tidak mahu dikenali dengan sifat negatif aku.
Aku mahu diingati kerana kebaikan aku, walaupun untuk seketika.
Semua itu aku fikirkan semasa terlantar demam atas katil.
Jadi, untuk itu,
aku di sini ingin memohon maaf kepada semua yang sedang membaca.
Aku tidak pasti apa salah yang pernah aku buat,
tapi kalau ada, maafkanlah aku.
Kita baiki segala yang tidak elok antara kita.
Berhari-hari aku terbaring sambil merasa organ dalam badan bergerak.
Mati itu pasti.
Aku cuma harap, kalau aku pergi,
aku akan pergi dalam keadaan orang yang kenal aku akan doakan yang baik-baik untuk aku, bukannya berasa lega aku sudah tiada.
Sekali lagi,
aku minta maaf.
Bye.
.