Salam.
Satu hari seorang kawan bertanyakan satu soalan hipotetikal berkenaan sesuatu:
Sebuah kapal penumpang karam di tengah lautan. Para penumpang terkapai-kapai di permukaan air. Ada satu bot penyelamat (lifeboat) dan sudah ada 50 orang di atasnya. Hanya ada satu bot, dan satu bot hanya mampu memuatkan 60 orang sahaja. Namun, masih terdapat 100 orang penumpang lagi yang sedang meronta-ronta terkapai-kapai di permukaan lautan. Bot yang terlampau padat dan melebihi kapasiti sudah tentu akan meningkatkan risiko bot itu untuk karam juga dan seterusnya meningkatkan lagi kadar kematian.
Apa tindakan paling terbaik untuk situasi begini?

Yang belajar psikologi akan tahu ini adalah soalan cetusan minda daripada ahli falsafah terkenal yang juga merupakan seorang ahli ekologi bernama Garrett Hardin, sebagai analogi kepada tanggungjawab manusia membantu mereka yang memerlukan.
Sudah tentu, aku budak biologi, tidak belajar psikologi,
jadi jawapan aku sudah tentu selamatkan seberapa banyak yang boleh.
Ada 10 ruang lagi boleh diisi, jadi tindakan terbaik adalah selamat 10 orang lagi.
Tapi penyelesaian itu hanya akan mencetuskan isu yang lain pula.
Kalau mahu selamatkan 10 orang lagi,
siapa 10 orang yang terpilih daripada 100 orang tadi?
Bagaimana kriteria memilih 10 orang lain?
Wanita dan anak kecil?
Saudara rapat dan kenalan?
Orang kaya dan ahli politik yang berpengaruh?
Ahli akademik dan cerdik pandai?
Dan apa alasan menolak orang yang tidak layak diselamatkan?
Lelaki dewasa berbadan tegap yang ada peluang tinggi untuk terus hidup?
Penjenayah dengan rekod jenayah panjang dan memudaratkan?
Musuh perniagaan dan pesaing dalam kerjaya atau kehidupan?
Namun soalan yang terbesar ialah
SIAPA YANG LAYAK MENENTUKAN 10 ORANG TERSEBUT?
Dan semua ini perlu difikirkan dalam masa singkat sedangkan semua orang dalam situasi ini, sama ada di atas bot atau yang sedang terkapai-kapai, semuanya sedang panik memegang nasib nyawa diri sendiri.
Dalam keadaan panik, semua orang mahu selamatkan diri sendiri.
Jadi siapa boleh beri jaminan bahawa orang yang ditolak dari naik bot akan menurut kata dengan hati yang tenang tanpa melawan?
Aku pun berfikir lama untuk soalan situasi di atas.
Mari kita selami keadaan bagi tiga individu berlainan keadaan:
1. Golongan yang sedang berada di dalam air.
Sudah tentu orang yang di dalam air mahu dia diselamatkan tidak kira siapa dia.
Sudah tentu dia mahu jadi seorang daripada 10 orang yang harus diselamatkan.
Sama ada dengan kebenaran atau tidak, sudah tentu akan ada jenis orang yang akan bersungguh-sungguh mahu naik ke atas bot.
Jika kita tanyakan soalan 'adakah anda perlu diselamatkan' kepada mereka,
sudah tentu jawapan mereka adalah YA.
10 ke, 100 ke, karam ke, timbul ke, asalkan mereka selamat, mereka sudah tidak peduli itu semua.
2. Golongan yang sudah berada di atas bot.
Walaupun mereka ini boleh tarik nafas lega,
tapi kalau mereka tidak buat sesuatu, lambat laun pasti akan ada orang dari dalam air yang akan berkeras mahu naik ke atas bot juga dan menggunakan kekerasan.
Maka, mahu atau tidak mahu perlu ada seseorang yang ambil tindakan.
Dia perlu buat keputusan sama ada memilih untuk mengambil 10 orang lagi,
atau tidak ambil sesiapa langsung,
atau menolak orang tertentu di atas bot, dan gantikan dengan orang lain dari dalam air.
Orang ini juga perlu bersedia untuk menggunakan kekerasan jika perlu.
Tanggungjawab orang ini amat besar.
Setiap kematian yang ada, walaupun bukan secara langsung dari dia,
dia perlu dipertanggungjawabkan.
Sudah tentu, tiada siapa mahu jadi individu ini.
Maka, majoriti orang atas bot akan bersikap diam dan berharap orang lain yang akan muncul ke depan.
3. Golongan yang tiada di tempat kejadian, iaitu anda.
Sudah pasti penilaian daripada orang lain yang tiada di tempat kejadian adalah berbeza.
Berbeza kerana mereka tidak rugi dari segi apa-apa.
Kebanyakan mereka (kita) akan fikir untuk selamatkan sebanyak yang boleh.
Ada juga yang berfikiran utamakan wanita dan kanak-kanak dahulu (di mana ini adalah prosedur standard kecemasan di seluruh dunia).
Ada juga yang terfikir, kalau dia berada di atas bot, dia akan korbankan diri bertukar tempat dengan orang yang lebih disayangi (seperti keluarga dan kenalan) dan kalau kalian adalah salah seorang yang berfikiran sebegitu, ketahuilah bahawa memikirkannya lebih mudah daripada melaksanakannya.
Golongan ini jugalah yang akan menilai individu yang tidak benarkan orang dari dalam air naik ke bot adalah individu jahat tidak kira apa pun alasannya.
Okey.
Pada tahap ini kalian mesti fikir apa poin sebenar yang cuba aku nak sampaikan, kan?
Sebenarnya, pada aku,
setiap perkara yang berlaku di dunia ini sentiasa akan berkisar pada pendapat tiga golongan tadi, iaitu; (1) Si Pemberi, (2) Si Penerima, dan (3) Si Penonton.
Golongan yang banyak bersuara adalah golongan Penonton tadi.
Contohnya kalau ada berlaku sesuatu perkara viral, seperti video ibu dera anak menjadi tular, sudah tentu yang banyak bersuara adalah golongan yang tiada kaitan sedangkan apa yang kita perlu tahu adalah mungkin ada cerita lain berlaku di sebalik video itu. Mungkin si ibu sedang mengalami tekanan mental, ataupun deraan itu tidaklah sedahsyat yang digembar-gemburkan, sekadar pukulan yang bersifat mengajar, atau mungkin si ibu terikut emosi dan melakukan kesilapan yang sudah tentu juga akan memberi kesan kepada dirinya.
Kesimpulannya,
kita manusia sangat suka menilai sesuatu tanpa usul periksa.
Nasihat aku kalau berlaku sesuatu, tahu dulu pokok pangkal segala cerita,
terutamanya jika kita dari pihak 'Penonton', kaji dahulu apa alasan 'Pemberi' dan 'Penerima' berkelakuan sedemikian.
Banyak contoh boleh aku beri, tapi aku sudah malas menaip hahahaha.
Sebagai penutup,
beritahu aku apa pendapat kalian tentang situasi bos penyelamat di awal entri tadi?
Apa tindak terbaik yang kalian rasa patut dilakukan semua orang?
Ya, aku tahu.
Blog ini sudah semakin bosan.
Tiada komik dan asyik entri teks panjang lebar.
Tapi kalian kena faham dari konteks cEro sebagai 'Pemberi'.
cEro sedang mengalami fasa sukar yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menghadapi, jadi berikanlah cEro sedikit masa untuk kembali bersinar dan berpijar seperti dulu kala.
Pendek kata, cEro malas. Hahahaa!
Terima kasih kerana baca sampai habis. Moga bermanfaat. YOU'RE THE BEST!
.