Salam.
"Jadi pada hari minggu tempoh hari, aku ada janji mahu bertemu dengan seorang kawan di satu tempat. Disebabkan aku berkenderaan (motosikal) sedangkan kawan aku tidak berkenderaan, maka kami akan bertemu di satu tempat yang mudah dicapai oleh dia tapi sedikit jauh dari tempat aku."

"Dan ini adalah perkara yang berlaku kepada aku bermula dari awal pagi sehinggalah sampai ke tempat yang dijanjikan:
1. Setelah bersiap dan bersedia untuk memulakan perjalanan, aku mencari kunci motosikal di atas rak tempat selalu aku letakkannya. Tiada. Oh, lupa. Semalam housemate pinjam motosikal aku, kunci pasti masih ada padanya.
2. Ketuk bilik housemate mahu bertanya keberadaan kunci motosikal aku, tapi ketukan tidak berbalas. Lama sudah ketuk ni. Masuk terus nanti kata ceroboh privasi pula. Lantaklah. Masuk sajalah.
3. Buka pintu bilik housemate, rupanya dia masih lagi membuta tidur. Tidur mati agaknya. Sampai bergegar rumah aku pintu tadi langsung tak diendahkannya. Aku tepuk dia perlahan-lahan dan bertanyakan perihal kunci motosikal, namun mungkin dia salah anggap suara aku yang perlahan itu sebagai dodoian agaknya. Dia makin ketat menarik selimut.
4. Cara lembut bertanya tidak menjadi, aku tiada pilihan selain meninggikan suara. Bila dijerit bertanyakan kedudukan kunci motosikal aku, dia hanya menjawab 'carilah dekat ruang tamu, manalah aku tahu'. Ya, sama-sama sebab berterima kasih kepada aku kerana meminjamkan motosikal aku itu. Ingatkan aku kembali di lain hari supaya tidak lagi meminjamkannya kepada kau, wahai housemate-ku, walaupun masa mahu meminjam ayat yang keluar dari mulut kau cukup manis berbicara.
5. Ke ruang tamu aku tuju. Tiada kunci dalam medan pandangan mata. Sudah satu kerja pula mencari kunci sendiri. Nampak gayanya perangai 'letak balik benda di tempat ia diambil' hanya diamalkan aku dan perpustakawan sekolah sahaja.
6. Masa lebih banyak dihabiskan aku mencari kunci berbanding masa untuk bersiap tadi. Cari punya cari punya cari, jumpa bertindih jauh bawah timbunan majalah. Aku tarik nafas panjang menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata kesat. Rantai kunci di kunci tersebut kelihatan kotor tercalit cecair berwarna hitam. Dengan sabar, aku lap kotoran itu dengan tisu sambil ingatkan diri sendiri supaya menjadi lebih 'kedekut' di masa akan datang.
7. Melihat motosikal di laman rumah diparkir senget, tidak tepat di bawah bumbung tidak seperti yang aku selalu lakukan. Nasib baik malam tadi tidak hujan. Kalau hujan, mesti basah satu-satunya motosikal kesayangan aku itu. Sekali lagi aku ingatkan diri supaya jangan terlalu baik hati di masa akan datang.
8. Pagar rumah dibuka. Sekali lagi aku menghela nafas panjang, mengeluh. Sebuah kereta diparkir baik punya tepat di hadapan pagar rumah. Kereta milik jiran sebelah. Ya, dia tahu kami rumah bujang hanya pakai motosikal dan memang ada ruang untuk motosikal keluar masuk (walaupun sempit), tapi apa sebab dia perlu tutup laluan kami sedangkan depan rumah dia kosong dan boleh diparkir kereta?
9. Setelah gigih menerobos ruang sempit untuk keluarkan motosikal, aku berjaya. Amarah dalam hati sudah berbisik suruh senikan satu calar panjang di depan kereta itu, tapi kesabaran masih bersarang dalam diri. Paling tidak buat masa ini.
10. Perjalanan dimulakan. Baru sahaja keluar simpang perumahan, terlihat satu lubang jalan rosak yang baru. Eh? Bukan ke baru minggu lepas jalan ini ditampal? Pihak yang tampal itu tampal guna apa? Ubat gigikah?
11. Jalan selepas simpan sedikit sempit, muat satu kereta sahaja. Ada kereta dari belakang mahu laju, maka aku rapat ke kiri benarkan diri dipotong. Entah tidak pasti dia tidak berkeyakinan atau sekadar kebodohan bermaharajalela, tak dapat-dapat juga dia memotong walaupun sudah jenuh ke kiri aku rapat. Nasib baik depan sana jalan sedikit luas. Ohhh, lesen 'P' rupanya. Percubaan.
12. Ke destinasi memerlukan aku melalui lebuhraya. Lorong masuk motosikal di tol berada di kiri plaza. Cuba teka apa juga yang berada di kiri plaza? Ya, dua biji kereta yang kelihatan seperti satu konvoi sedang berhenti betul-betul di lorong masuk motosikal, mengganggu pengguna motosikal lain daripada masuk lebuhraya. Lagi seronok, mereka buat muka tidak bersalah. Ada yang keluar dari kereta untuk berbual telefon, ada juga yang berbual-bual di tepi jalan dengan seronoknya tanpa menghiraukan pengguna motosikal yang kena gigih menyelit celah sempit yang mereka sebabkan.
13. Berada di lebuhraya, di lorong kiri. Ini bukan lebuhraya yang menyediakan laluan khas motosikal, jadi motosikal terpaksa berkongsi lorong dengan lori 2 tan, lori 5 tan, dan lori 10 tan. Terbayang jasad diri sendiri terselit celah tayar. Ngeri.
13. Kereta di hadapan memandu perlahan di lorong kiri. Tak apa. Itulah fungsi lorong kiri, untuk pemanduan perlahan. Tapi rupanya kereta itu dipandu perlahan supaya orang di dalamnya boleh buka tingkap dan buang segala sampah sarap makanan dari dalam kereta ke luar. Kulit pisang, tin minuman, plastik, kulit kuaci, ada juga lampin bayi. Pada sesetengah orang, Bumi adalah tong sampah besar mereka. Masalahnya mereka juga adalah isi 'tong sampah' itu.
14. Motosikal aku sudah 10 tahun, maka tidak semantap dahulu. Berada di atas lebuhraya dengan kelajuan 90 ke 100 km/j sudah memadai, sebab itu aku selesa di lorong kiri. Tapi bila ada kenderaan lain yang lebih laju membunyikan hon di belakang aku memberitahu aku lambat, aku hanya berharap dia terlibat dalam kemalangan jalanraya di depan sana. Kalau nak potong, potong sajalah di sebelah kanan. Apa masalah? Nak kena duduk kiri dan bunyikan hon sudah kenapa?
15. Keluar lebuhraya, aku dapat rasa angin tayar makin kurang, terima kasih kepada sampah sarap yang aku terlanggar di tepi lebuhraya. Menjengah ke stesen minyak selepas plaza tol untuk menggunakan pam angin. Namun, tempat pam angin dihalang oleh kereta yang menyinggah. Berpuluh ruang lain untuk parkir, kenapa pilih di ruang pam angin?
16. Aku memilih untuk pam angin di stesen minyak lain, 10km di hadapan sana. 10km tidaklah jauh, namun hati jadi semakin jauh bila sampai sahaja, terlihat papan pemberitahuan di pam angin tertulis 'PAM ROSAK'.
17. Menuju ke destinasi, aku berhenti di satu lampu isyarat merah. Baru sahaja lampu bertukar menjadi hijau 0.01 saat tadi, kereta belakang sudah bunyikan hon macam aku sejam berkampung di tengah jalan. Jalan itu abah dia punya agaknya.
18. Semakin menghampiri tempat yang dijanji, aku masuk ke satu pusat komersial. Jalannya sehala, jadi kalau terlepas satu lorong, kena pusing satu pusingan baru boleh masuk semula ke lorong itu. Satu pusingan bukannya dekat. Boleh turun satu kotak meter minyak tahu.
19. Kebiasaannya di laluan jalan sehala, pasti akan wujud motosikal yang menyongsang arus. Itu masih boleh diterima akal walaupun ternyata salah. Tapi apa cerita kalau kereta pula yang menyongsang arus? Nak pula bertembung dengan kereta lain di jalan sempit akibat parkir dua lapis, masing-masing tak mahu mengalah dan mengakibatkan laluan tersekat sejauh mata memandang.
20. Sudah jumpa kedai mamak yang dijanjikan sebagai tempat pertemuan. Aku mencari tempat letak motosikal. Kosong parkir untuk motosikal sudah diisi dengan kereta yang tidak tahu bahasa. Kotak parkir kereta pula tidak dibenarkan parkir motosikal. Habis tu, aku boleh parkir mana?
21. Aku naik ke bahu jalan untuk parkir. Lantaklah. Ada dua tiga motosikal lain juga yang buat perkara sama. Baik punya parkir, aku tersedar hampir sedikit lagi aku akan terpijak segumpal najis semasa mahu menurunkan kaki dari motosikal. Nasib tak terpijak.
22. Aku ingat aku lambat sebab banyak perkara sudah berlaku. Aku memang lambat 5 minit dari waktu yang dijanjikan. Tapi rupanya kawan aku itu lagi lambat. Dia belum sampai. Tidak apa, aku boleh tunggu.
23. Aku SMS dia beritahu aku sudah sampai. Tiada balasan. Tunggu 5 minit, tiada. Tunggu 10 minit, tiada juga. Tunggu 20 minit, masih tiada. Sudah 30 minit, masih menunggu. Wow!
24. 45 minit menunggu, dapat satu SMS balasan. 'Sorry, tak jadilah jumpa. Ada hal lain.'
25. Aku balas SMS, 'Tapi aku dah sampai ni'. Dia pula balas, 'Ala, bertimbang rasalah sikit. Aku ada hal penting lain. Janganlah pentingkan diri sangat'. Ehhhh? Bukankah kau yang ajak jumpa awal-awal hari itu? Ada masalah nak luahkan pada aku konon katanya? Marahnya aku.
26. Bayar teh tarik, berdengus aku berjalan ke motosikal dalam keadaan marah. Ternampak ada sesuatu terselit di pemegang motosikal aku. Satu surat. Bukan surat cinta. Surat saman. Saman parkir kenderaan bukan di ruangan parkir.
...and that's it. That's why I'm here."
"Maksud kau, kau masuk sini sebab dapat saman salah parking?" tanya Hadi untuk kepastian.
"Oh, tak. Aku masuk sini atas kesalahan membunuh. Kawan yang aku cerita janji tapi tak datang tadi tu, sekarang sudah jadi arwah, jadi arang. Aku ikat dia dekat pokok dan bakar guna petrol hidup-hidup. Sekejap lagi polis akan bawa aku ke ibu pejabat untuk soal siasat lanjut."
Hadi terdiam mendengar cerita lelaki berkumis tebal itu. Kelihatan sekumpulan polis pengiring menghampiri lokap tempat mereka berdua berkongsi itu. Seorang polis mula membuka pintu lokap dan mengeluarkan gari.
"Kau masuk sini sebab apa?" tanya lelaki itu kepada Hadi sambil polis menyiapkan gari di pergelangan tangannya.
"Err...er...Aku kena tangkap sebab conteng dinding bangunan awam...," jawab Hadi terketar-ketar.
"Kau tahu, dunia kita ini dunia egosentrik. Semua orang pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain. Mereka rasa mereka lebih tinggi daripada orang keliling mereka. Mereka rasa mereka sentiasa perlu diutamakan tanpa menghiraukan orang yang betul-betul perlukan keutamaan. Pada mereka, kesusahan mereka sahaja penting. Susah orang lain mereka tidak peduli."
"Kau bukan macam tu, kan? Hadi?" tanya lelaki itu sebelum dibawa pergi sambil bergari oleh polis pengiring tadi. Hadi hanya mampu melihat lelaki itu dibawa pergi, lelaki yang menjadi mangsa kekejaman egosentriknya manusia dunia.
"Tak. Tidak. Aku tidak mahu jadi sebahagian daripada manusia egosentrik."
Hadi berbisik seorang diri.
Adakah kalian seorang egosentrik?
.